berjayakah ramadan kita?

Alhamdulillah .

Syukur yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi, kerana kita sempat melayari bahtera ramadhan dengan cekal dan sabar. Apabila tibanya syawal, seolah kita kembali ke pelabuhan dengan tenang tanpa ribu taufan yang melanda lagi. Itulah rasa kemenangan dan kejayaan perjuangan. Perjuangan yang menentang hawa nafsu. Hanya hawa nafsu yang ditentang, itupun masih kita rasakan amat berat .

Di malam syawal itulah, kita bertakbir memuja kebesaran Allah di atas kemenangan kita. Namun, ramai yang tidak merasainya. Yang dirasa, ketupat lemang, rendang ayam, kuih muih, dodol dan wajik. Hilang maksud sebenar syawal, kemenangan sebuah perjuangan. 

Sayangnya . . . bila kita beramal kerana bulan ramadhan, bulan seterusnya terus ditinggalkan sehingga bulan ramadhan berikutnya. . amalan ibadat terkubur begitu sahaja. Sedangkan ramadhan pencetus amal untuk kita istiqamah sepanjang masa. 

Semangat syawal dulu dan kini berbeza. Dulu melihat kepada ukhrawi, namun kini melihat kepada duniawi. Soalnya, benarkah ramadhan kita berjaya?