Hati

" Man ! Kenapa senyap je ni ? " Zuhair terpanggil untuk mempersoalkan keadaan Zaman yang sedari tadi duduk terpungguk di sudut katil sambil menungkan sesuatu. Mukanya tampak kusut dan serabut. Mungkin Zaman mempunyai masalah, bisik hati Zuhair.

" Sejak dua menjak ni, aku rasa kosong. Hati aku kosong. Mood aku berbolak-balik. Kenapa?"

Zaman mengambil bantal , lalu memeluknya sambil pandangan matanya tertumpu kepada Zuhair. Zaman mengambil kerusi lalu duduk di hadapan Zuhair.

"Bercakap soal hati, aku ada satu analogi untuk kau faham apa itu hati. Mari aku ibaratkan hati itu sebuah buku tulis. Kau perlu lakarkan apa-apa saja untuk mengisi dan menceriakan buku tu. Betul ?"

Zaman mengangguk tanda faham mahupun setuju.

" Jadinya, cuba kau samakan hati kau dengan buku tulis tu. Sebab apa kau rasa kosong? Sebab kau tak lakarkan apa-apa cerita, bentuk, lukisan, ayat dan sebagainya. Betul? Hati ini perasaan. Bukan sekadar organ yang menerima kroni sisa untuk ditapis. Pengisian itu penting untuk menghidupkan hati kau. Jikalau kau biarkan ia kosong, pasti ada yang merosakkan. Macam buku juga. Bila kau biarkan kosong, dapat pula kat adik kau, pasti dia conteng habis dengan lukisan-lukisan yang hodoh dan pada akhirnya ia akan jadi bahan buangan. Tapi, bila kau jaga buku tu, kau hias, kau isi dengan ilmu, kau lakar dengan cantik, pasti buku tu akan terus kekal sampai bila-bila." Hujah Zuhair dengan penuh bersemangat.

" Zuhair ! Aku ni kan pelajar universiti. Pastinya hari-hari aku belajar. Macam mana pula kau kata hati aku kosong sebab tak diisi dengan ilmu?" Bidas Zaman dengan muka yang berkerut.

"Dalam konteks hati, ilmu tu penyeri, dan amalan rohani itu penyempurna. Ramai pelajar yang simpan ilmu di kepala. Bukan di hati. Maka hatinya akan jadi kosong. Tambahan pula, amalan-amalan rohaniah tak disertakan sekali. Makanya hati kau tetap rompong walaupun kau belajar dengan bersungguh-sungguh."

"Oh ! Padanlah hati aku kosong. Tiang agama pun selalu tak cukup batang. Astaghfirullah. "

" Man ! Ilmu itu penting, namun bila Allah kau tak selarikan di atas landasan yang sama, lama-lama diri kau akan terpesong. Syaitan dengan mudah mencucuk jarum. Maka, ramai orang yang belajar di overseas pun, terpesong jauh dari agama. Itu bahaya Man ! Bermula dengan penyakit hati ni la Man. Lama-lama akan jadi mati. Kau nak tahu tanda-tanda hati mati? "

"Apa dia?"

"Pertama, kau mengaku Allah tu Tuhan, tapi kau tak pernah nak taat perintah Allah. Kedua, kau mengaku sayang Rasulullah, tapi berapa banyak sunnah kau laksanakan? Ketiga, kau baca quran tetapi hukum hakam Quran tetap kau langgar. Kau makan dan rasa nikmat Allah, tetapi kau tak mensyukurinya. Kau mengaku syaitan tu musuh, tetapi kau tetap taat bawah telunjuk dia. Kau yakin ada syurga, tapi kau tak pernah berusaha untuk dapatkannya. Kau takut nak masuk neraka, tapi kau tak pernah menjauhinya. Kau tahu mati sampai bila-bila masa, tapi kau tak pernah lakukan persediaan. Kau sibuk tentang aib orang, sedangkan aib kau lagi banyak. Kau hantar orang pegi kubur, tapi kau tak ambil pengajaran terhadapnya. Inilah tanda orang yang mati hati. Bermula daripada hati yang kosong, lalu disuntik jarum nafsu oleh syaitan. Hati menjadi rosak dan hati akan mati. "

" Astaghfirullah. Hati aku hampir mati. Mujurlah Allah nak beri hidayah. La ila ha illa anta subhanaka inni kuntum minazzholimin . . . "